Sambutan mahasiswa baru ke kampus meriah

mahasiswakini | Sep 3, 2:09 AM | 855 dibaca

2 September, Kuala Lumpur - Kemasukan mahasiswa baru sesi 2012/2013 turut disambut meriah oleh beberapa persatuan mahasiswa di kampus masing-masing bermula 2 September lalu.

 

Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ahli-ahli Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) menyambut kehadiran ibu bapa dan mahasiswa baru di hadapan pintu pagar utama dengan kain rentang bertulis 'Selamat Datang kepada Mahasiswa Baru'.

Presiden ISIUKM Muhd Azan Safar dalam perutusannya mengucapkan tahniah kepada mahasiswa baru ke kampus UKM. ISIUKM juga berharap supaya Minggu Mesra Pelajar kali ini berjalan lancar seterusnya membina mahasiswa yang cemerlang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek.

 

Sementara itu, di Universiti Malaya sambutan mahasiswa baru turut dimeriahkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Pimpinan PMIUM bersama para sukarelawan PMIUM hadir seawal 7.30 pagi di hadapan pintu pagar utama untuk menyambut ibu bapa dan mahasiswa baru.

Hampir 1000 risalah ucapan selamat, air mineral dan kad nama PMIUM diedarkan kepada ibubapa dan mahasiswa baru yang mendaftar. 

 

Naib Presiden PMIUM Noor Afifah Jamaluddin dalam ucapannya menyebut "Alam kampus alam yang baru bagi adik-adik mahasiswa baru, manfaatkan ruang dan peluang untuk menimba ilmu walaupun bukan dalam pengkhususan kita. Tetapkan matlamat hidup yang jelas untuk melakar impian dan yang jelas itu sudah pasti kerana-Nya."

Kemeriahan sambutan mahasiswa baru turut dirasai di Terminal LCC dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Seramai 30 ahli Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) terlibat menjayakan Operasi Sambut Mahasiswa (OSEM) selama tiga hari bermula dari 1 September hingga 3 September ini. MARSIS mengadakan misi bertemu dan beramah mesra dengan mahasiswa baru dari Sabah dan Sarawak yang tiba di Terminal LCC dan KLIA.

 

Ruangan Komen

PERINGATAN: Mahasiswakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Mahasiswakini.net. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.