GERAKAN MAHASISWA dalam mendepani isu POLITIK

Maal Afsakh | Sep 1, 7:55 AM |

GERAKAN MAHASISWA

dalam mendepani isu

POLITIK

 

“Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah!”

 

Satu ungkapan yang dilaungkan dengan megah dan semangat oleh seorang tokoh mahasiswa beraliran kiri pada era 60-an. Ya, kata-kata ini bukanlah suatu auta. Jika kita menelusuri sejarah, kita dapat melihat bagaimana anak muda memainkan peranan utama dalam melakukan reformasi dan islah, tidak kira dari sudut kebajikan hinggalah kepada politik.

 

Di Filipina, Jose Rizal, seorang tokoh muda yang terkenal dengan karyanya, ‘Noli Me Tangere’ dan ‘El Filibusterismo’ menjadi ikon perjuangan menentang penjajah. Di Mesir, Sheikh Muhammad Abduh mengembangkan idea ‘Pan Islamisme’ di samping Hassan al-Banna, lulusan Darul Ulum yang mengasaskan dan menggerakkan Ikhwan Muslimin sehingga menjadi 1 gerakan yang cukup fenomenal pada abad ke-20. Di China, tokoh-tokoh kampus seperti Mao Tze Tung dan Li Ta Chao menjadi pencetus kepada Peristiwa 4 Mei 1919 yang berjaya meledakkan kebangkitan komunisme sehingga tertegaknya Republik Rakyat Komunis.

 

Dan yang paling utama, junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w mula berjuang menegakkan Islam di atas kapasiti sebagai seorang anak muda, malah orang-orang di sekeliling, yang menolong perjuangan baginda juga terdiri dari anak-anak muda.

 

Di sini, penulis ingin memfokuskan berkenaan peranan mahasiswa selaku golongan majoriti di dalam kelompok anak muda dalam arena politik.

 

 

 

Pengenalan

 

Gerakan mahasiswa merupakan satu gerakan yang dipelopori segolongan anak muda yang menuntut di universiti. Kelekaan dan sikap terlepas pandang kerajaan, pembangkang dan penguasa universiti memberi alasan kepada perlunya diwujudkan gerakan mahasiswa yang bertindak menjaga kebajikan mahasiswa di samping sebagai ejen ‘check and balance’ (semak dan imbang) di dalam pentadbiran universiti dan negara.

1948-1960, iaitu tempoh darurat telah meninggalkan bermacam implikasi di negara ini. Dengan tertubuhnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Gagasan Malaysia yang mendapat tentangan Indonesia serta Brunei dan parut yang paling memberi kesan kepada rakyat, iaitu faham perkauman yang menebal.

Namun, di sudut yang lain mahasiswa tempatan berada di era kemuncaknya. Sedang rakyat yang masih ditenggelami sentimen perkauman impak dari polisi yang ditetapkan penjajah, mahasiswa telah membina sejarah mereka sendiri.  

 

Entiti-entiti utama dalam kebangkitan mahasiswa pra-AUKU

 

  1. Penyebaran ideologi luar yang diserap masuk seperti Pan Islamisme, nasionalisme Indonesia dan sosialisme juga menjadi pemangkin utama idealism mahasiswa pada waktu itu.
  2. Wujudnya Sudut Pidato atau ‘Speakers Corner’ di Universiti Malaya (UM) pada tanggal 27 Mei 1966. Tertubuhnya Speakers Corner membawa erti besar di dalam perjuangan mahasiswa kerana hampir kesemua demonstrasi yang digerakkan adalah bertitik tolak dari perbahasan yang disampaikan oleh pimpinan-pimpinan mahasiswa semasa Speakers Corner.
  3. Penubuhan Kelab Sosialis Universiti Malaya (KESUMA). Idea-idea kedilan sosial, memiliknegarakan perusahaan penjajah, pembahagian hasil negara dengan adil adalah antara tema sosialis yang menarik minat anak muda yang hidup dalam dunia idealisme. Anggota-anggota kelab ini telah memegang teraju pimpinan kampus dan mengenengahkan isu-isu politik dan kemasyarakatan.
  4. Peranan badan-badan pelajar seperti Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Persatuan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (PMUSM), Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM)
  5. Badan pelajar Islam di kampus-kampus seperti Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

 

Keterlibatan mahasiswa dalam politik nasional

 

Mahasiswa dan pilihanraya 1969

 

Dari sudut politik, mahasiswa telah menunjukkan komitmen yang cemerlang. Antara yang menarik untuk dibincangkan ialah keterlibatan aktif mahasiswa dalam pilihanraya 1969.

Dalam pilihanraya ini, mahasiswa-mahasiswa telah berkempen ke seluruh negara di bawah pimpinan tokoh-tokoh pelajar seperti Syed Hamid Ali dan Rustam Abdullah Sani. Mereka telah mengadakan rapat umum dan berkempen ala ‘heat and run’ di atas lori.

Pilihanraya 1969 adalah yang terburuk dalam sejarah pilihanraya negara kerana dikotori oleh isu-isu perkauman yang digunakan oleh parti-parti bertanding, yang akhirnya membekaskan parut Peristiwa 13 Mei.

PMUM telah mengambil pendekatan ‘non-racial’ dalam kempen mereka. Manifesto pilihanraya telah dikeluarkan oleh PMUM pada 19 April 1969 dan diagihkan kepada masyarakat umum sebagai nilai tambah kepada mana-mana tawaran parti politik dalam pilihanraya tersebut. Mahasiswa juga memberitahu rakyat untuk menyokong dan mengundi parti yang melaksanakan manifesto ini.

Perkara yang disentuh di dalam manifesto tersebut ialah:

  1. Negara yang berdaulat dan merdeka berasaskan demokrasi, kebebasan dan keadilan
  2. Dalam negara demokrasi semua rakyat mestilah dibenarkan mengambil bahagian dalam proses politik dan hal yang demikian tidak seorang pun patut dikecualikan berdasarkan ideologi, bangsa dan warna kulit
  3. Mahasiswa mestilah mengambil bahagian secara aktif dalam politik sebagai rakyat negara ini
  4. Tahanan-tahanan politik perlu dibebaskan tanpa syarat atau dibawa ke mahkamah pengadilan untuk dibicarakan
  5. Membangun ekonomi orang-orang Melayu yang miskin
  6. Mengadakan polisi pelajaran yang berorientasikan kehendak-kehendak nasional
  7. Mengadakan reformasi tanah demi kepentingan petani-petani yang tidak bertanah
  8. Menghapuskan pangkalan-pangkalan tentera kuasa asing dari bumi Malaysia

 

Usaha PMUM ini telah mendapat sambutan hangat daripada rakyat. Sebanyak 13 rapat umum yang telah diadakan di seluruh Malaysia dengan dihadiri oleh kira-kira 100,000 pendengar. Antara kawasan yang diteroka termasuklah Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Ipoh, Taiping, Batu Pahat, Teluk Anson dan Klang. Lebih kurang 100,000 naskhah manifesto telah diedarkan kepada umum.

 

Demonstrasi anti-Tunku

 

Peristiwa 13 Mei telah menyebabkan kemarahan masyarakat Melayu, termasuk mahasiswa di atas beberapa alasan; jurang perbezaan ekonomi orang Melayu dan Cina yang ketara, kemiskinan luar bandar manakala tuntutan masyarakat Cina seperti ‘Malaysian Malaysia’ begitu menghiris nurani orang Melayu.

Gerakan mahasiswa telah bangkit dan mempertikai keupayaan Tunku dalam meneraju negara, seterusnya mendesak beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Bantahan awam telah digerakkan berikutan desakan ini.

Desakan kuat mahasiswa telah berjaya menyebabkan Tunku berundur dari kedudukan nombor 1 negara dan disambut oleh mahasiswa sebagai kemenangan bagi mereka.

 

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)

 

AUKU yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1971 telah menggemparkan gerakan mahasiswa. Akta ini telah ditentang oleh mahasiswa dan pensyarah kerana berpandangan ini adalah satu cubaan kerajaan untuk menyekat aktivisme mahasiswa. Berikut adalah antara perenggan AUKU yang ditentang oleh gerakan mahasiswa:

  1. Bahagian III Fasal 15 yang menyatakan bahawa “tiada sesuatu majlis pelajar, pertubuhan pelajar atau mana-mana kumpulan pelajar bagi university boleh mangadakan apa-apa pergabungan dengan, atau melakukan sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai penyataan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan kerja yang ditubuh atau didaftarkan di bawah undang-undang berhubungan dengan pendaftaran pertubuhan-pertubuhan atau kesatuan kerjaatau terhadap mana-mana kumpulan atau badan orang-orang perseorangan yang menyalahi undang-undang”.
  2. Bahagian V Seksyen VI Fasal 48 yang cuba menentukan struktur persatuan mahasiswa; bahawa mahaisswa hanya dibenarkan membentuk majlis perwakilan pelajar yang mana hendaklah dikendalikan oleh 4 orang ahli jawatankuasa kerja.
  3. Bahagian V Seksyen VI Fasal 50 yang menetapkan bahawa badan pelajar university tidak dibenarkan bergabung dengan mana-mana parti politik atau kesatuan kerja atau pertubuhan lain yang didaftarkan di bawah undang-undang.
  4. Bahagian V Seksyen VI Fasal 51 yang menentukan kuasa majlis universiti untuk bertindak terhadap mahasiswa atau pelajar atau badan-badan pelajar sekiranya melampaui hak kuasa perlembagaan persatuan atau mana-mana peraturan akta tersebut.

 

Akta ini dengan jelas untuk mengekang gerakan mahasiswa daripada lantang dan proaktif dalam politik nasional serta menyekat mahasiswa daripada mempunyai hubungan politik dengan mana-mana parti politik di luar kampus.

 

Sejurus selepas AUKU

 

Demonstrasi anti-Siam dan Peristiwa Baling 1974

 

Kewujudan AUKU tahun 1971 tidak mampu mematikan gelombang aktivisme mahasiswa. Pada 14 Jun 1971, demonstrasi menentang kekejaman rejim Siam terhadap masyarakat Muslim di Selatan Thailand di bawah kelolaan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah berjaya menghimpunkan 2,000 mahasiswa.

Malah, Persitiwa Baling 1974, yang dicatatkan sebagai rekod paling cemerlang yang pernah dicapai oleh gerakan mahasiswa kerana telah berjaya menyatukan mahasiswa dari seluruh jalur ideologi merentasi sempadan agama dan kaum. Solidariti besar-besaran oleh mahasiswa telah digerakkan dari kampus-kampus UM, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, Politeknik Ungku Omar di Ipoh dan kemuncaknya pada 3 Disember 1974, demonstrasi massa degerakkan di Padang Kelab Selangor.

Kerajaan telah melancarkan ‘mass crackdown’ yang dinamakan Operasi Bersih dengan melakukan tangkapan besar-besaran terhadap pimpinan mahasiswa. Antara yang ditangkap ialah Adi Satria (Penolong Setiausaha PMUM), Abdul Rahman Rukhaini (Presiden PMUKM), Ahmad Samad Hamad Noor (Setiausaha PKPIM), Ahmad Kamal Selamat (Presiden PMUSM) dan ramai lagi pimpinan mahasiswa yang lain. Tahun 1974 telah memperlihatkan ‘amukan’ ISA dalam menjerkah mahasiswa dan rakyat.

 

Melihat kepada senario ini, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mengekang kebangkitan mahasiswa. AUKU telah diperketatkan dengan pelbagai halangan yang merencatkan aktivisme pelajar.

 

Pasca-AUKU: fenomena baru perjuangan mahasiswa

 

Kewujudan AUKU sememangnya telah merencatkan aktivisme  mahasiswa. Selepas Peristiwa Baling 1974, mahasiswa seakan hilang taringnya dan takut untuk mendepani isu-isu negara. Selepas 1974, tiada isu yang besar dibangkitkan dalam tempoh 1974 sehingga tahun 1980.

Antara kesan AUKU terhadap perjuangan mahasiswa adalah terkuburnya Kelab Sosialis yang sebelumnya menjadi ‘front line’ dalam gerakan mahasiswa. Begitu juga gerakan-gerakan mahasiswa lain yang berorientasikan sosialis, semuanya turut terkubur.

Namun lain pula halnya dengan gerakan mahasiswa Islam seperti PMIUM, PKPIM dan PMI di kampus-kampus lain. Mereka lebih menyerlah setelah kewujudan AUKU. Hal ini bertepatan dengan apa yang pernah dikatakan oleh Profesor Khoo Kay Kim; professor sejarah Malaysia bahawa hanya persatuan mahasiswa yang berjuang di atas sesuatu ideologi (yang kukuh, contohnya yang membawa ideologi agama) dapat bergerak dan hidup selepas kehadiran akta (AUKU).

Pada era 80-an, penglibatan mahasiswa dalam politik kurang memberangsangkan. Gerakan mahasiswa lebih tertumpu kepada program-program seperti kebajikan masyarakat manakala penghayatan terhadap ajaran Islam lebih baik berbanding sebelumnya. Di samping itu, aktiviti-aktiviti dakwah dan pentarbiyahan mahasiswa mula mengambil tempat. Karya-karya tokoh gerakan Islam seperti Hassan al-Banna, Sayyid Qutb dan Maududi telah disebar secara meluas di kampus-kampus.

Antara siri perjungan mahasiswa era 80-an yang popular:

  • Isu pencerobohan Russia di Afghanistan
  • Bantahan tindakan kejam Israel di Shabra dan Shatila
  • Bantahan Konsert Sudirman
  • Bantahan serangan terhadap Libya
  • Bantahan Konsert Sheila Majid
  • Isu pengangguran siswazah

 

Secara umunya, perjuangan mahasiswa pada era 80-an kurang menyentuh isu politik, sebaliknya lebih tertumpu kepada isu sosial, moral dan nasional.

 

Warni-warni dekad 90-an

  1. Ops Kriket 1997

 

Perjuangan mahasiswa dekad 90-an penuh dengan warna-warni. Antara yang menarik untuk dibincangkan- yang berkait rapat dengan isu politik ialah peristiwa Ops Kriket 1997. Pada 4 April 1997, seramai 2,000 pencinta Islam telah berdemonstrasi di hadapan pintu masuk UM bagi menentang kemasukan pasukan kriket Israel ke negara ini.

Solidariti yang melibatkan parti oposisi utama pada waktu itu, yakni PAS, mahasiswa (yang beraliran Islam) dan masyarakat awam itu telah disambut dengan gas pemedih mata dan semburan air kimia oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Tangkapan secara rambang dilakukan, di mana sejumlah demonstran termasuk 24 orang mahasiswa telah ditahan.

Demonstrasi ini dikaitkan dengan isu politik kerana:

  1. Ia turut melibatkan beberapa pimpinan politik, terutama dari PAS. Antara yang terlibat ialah Mahfuz Omar, Salahudin Ayub, Misbahul Munir dan beberapa pimpinan Pemuda PAS yang lain.
  2. Himpunan ini mendapat reaksi yang pelbagai dari tokoh-tokoh politik. Antara yang memberi respon adalah Ketua Pemuda UMNO pada waktu itu, Zahid Hamidi. Beliau telah mendakwa “PAS telah melacurkan mahasiswa untuk kepentingan politik”, malah meminta Menteri Pendidikan pada waktu itu, Najib Tun Razak agar jangan bertolak ansur terhadap mahasiswa yang terbabit dalam demonstrasi itu, termasuk menggantung pengajian atau menyingkirkannya.

 

  1. Reformasi 1998

 

Pemecatan Anwar Ibrahim dari kedudukan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 telah mencetuskan 1 fenomena kebangkitan rakyat secara besar-besaran. Pelbagai lapisan masyarakat, termasuk mahasiswa telah menunjukkan solidariti terhadap Anwar.

Sesuatu yang membanggakan ialah, gelombang Reformasi ini berjaya mengintimkan gerakan mahasiswa dari pelbagai jalur fikrah dan ideologi, yang mana golongan sosialis yang sebelum ini agak ‘berbulu’ dengan golongan Islamis mula bersatu di bawah satu ketumbukan.

Antara partisipasi mahasiswa yang menonjol semasa Reformasi ialah mobilisasi 5,000 mahasiswa yang terdiri dari pelbagai fahaman yang berjaya digerakkan di Masjid Negara oleh Zaharudin Abdul Rahman, presiden PMIUM pada waktu itu.

Gelombang Reformasi terus membadai ibu negara setiap Sabtu, yang turut disertai oleh gerakan mahasiswa. Fenomena ini berterusan sehingga pertengahan tahun 1999.

 

Alaf millennium: mahasiswa dan politik

 

BERSIH, sebuah gerakan yang dimobilisasikan pada 10 November 2007 bertujuan bagi menuntut pilihanraya yang adil dan bersih telah ‘mencuit’ gerakan mahasiswa untuk turun berjuang bersama rakyat. Himpunan yang dikelola oleh gabungan beberapa NGO dan digerakkan secara besar-besaran oleh parti-parti oposisi ini telah berjaya menghimpunkan 100,000 rakyat dari pelbagai jalur sosial, pendidikan dan ideologi.

Belum sempat surut  ribut politik di negara ini setelah himpunan raksasa BERSIH, mahasiswa mengambil 1 langkah drastik, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana gerakan mahasiswa sebelumnya, iaitu menubuhkan parti politik sendiri yang diberi nama Parti Mahasiswa Negara (PMN) untuk bertanding pada pilihanraya 2008.

PMN adalah sebuah parti pelbagai kaum yang diasaskan pada 7 Januari 2008, di bawah pimpinan Azlan Zainal serta diterajui aktivis mahasiswa dari Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Malangnya, parti ini tidak berjaya didaftarkan. PMN meletakkannya sebagai kuasa ketiga (third force) antara parti kerajaan dan pembangkang. Ahlinya bukan merupakan anggota atau penyokong Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat tetapi sekumpulan mahasiswa dan graduan universiti yang berminda bebas serta tidak berpuas hati dengan suasana politik semasa.

Penubuhan parti baru itu telah diumumkan pada 7 Januari 2008 di hadapan pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya. PMN mendakwa mempunyai 2,000 ahli dan sedang aktif mendapatkan ahli baru di kalangan mahasiswa dan graduan universiti dan telah mengemukakan permohonannya kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) 11 Januari 2008. PMN yang bercadang untuk bertanding di dalam Pilihan raya umum Malaysia 2008 tidak menjadi kenyataan disebabkan masalah pendaftaran.

Tarikh 9 Julai 2011 telah menyaksikan sekali lagi bahawa mahasiswa bersama rakyat. Himpuan BERSIH 2.0 yang digerakkan berikutan kekotoran sistem pilihanraya negara telah memperlihatkan mahasiswa di antara puluhan ribu rakyat yang memenuhi berhimpun. Semasa himpunan tersebut, mahasiswa yang bergerak di bawah SMM telah mengagihkan air mineral dan garam kepada rakyat.

Malaysia Bangkit, sebuah gerakan di bawah pimpinan Mohd Syahid Zaini telah membawa agenda politik sebagai sebahagian dari perjuangan utama mereka. Berkenaan dengan politik, Malaysia Bangkit memperjuangkan:

  1. Kepimpinan negara yang baik (good governance)
  2. Pilihanraya yang bersih dan adil

 

Ekoran dari itu, mahasiswa telah berpartisipasi dalam himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April 2012. Malah, pengamatan penganalisis politik telah melaporkan bahawa kehadiran mahasiswa dan anak muda dalam himpunan tersebut mencecah sehingga 65% dari jumlah keseluruhan demonstran.

Dan yang terbaru, SMM selaku entiti terbesar yang menaungi sebahagian besar gerakan-gerakan mahasiswa nasional telah menggemparkan negara berikutan keputusan mereka untuk meletakkan calon mahasiswa untuk bertanding dalam pilihanraya umum kelak. Tidak dapat dipastikan sama ada SMM akan meletakkan calon di bawah platform bebas atau menubuhkan parti sendiri, seperti mana yang pernah dilakukan oleh maahsiswa sebelum pilihanraya 2008.

 

Kesimpulan

 

Radikalisme mahasiswa pada peringkat awal yang dipengaruhi oleh elemen sosialisme telah memperlihatkan sikap prihatin terhadap isu politik negara, sehingga memaksa kerajaan mengekang kebangkitan mahasiswa pada waktu itu.  Penggubalan AUKU telah memberi kesan yang mendalam kepada gerakan mahasiswa. Namun, selepas zaman akta, gerakan mahasiswa yang berorientasikan Islam telah melonjakkan diri mereka, sehingga mengatasi kepopularan gerakan mahasiswa yang beraliran sosialis.

Secara umunya, mahasiswa dari pelbagai lapisan dekad giat memperjuangkan isu politik negara.  Ini menunjukkan tahap kecaknaan mahasiswa yang tinggi terhadap isu di sekeliling.

 

Rujukan

 

  1. http://ms.wikipedia.org/wiki/Parti_Mahasiswa_Negara
  2. http://www.isiukm.org/
  3. Benarkah MPMUM Peneraju Perubahan?: Analisis Setahun Memimpin, Farid Jalpah, Pro Inside
  4. Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad, Riduan Mohamad Nor, Jundi Resources

Ruangan Komen

PERINGATAN: Mahasiswakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Mahasiswakini.net. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.