Perbezaan Sistem Pendidikan di Malaysia dan Korea

Fahmi Zainol | Mar 13, 4:09 AM |

 

 Saban hari negara kita kian pantas dalam mengejar cita-cita arus kemajuan. Dalam tempoh yang  semakin  meruncing, kerajaan semakin terdesak untuk mengapai Wawasan 2020 yang dicipta oleh si sang cerdik dan pintar. Persoalannya, mampukah kita untuk mengapai status negara Maju menjelang 2020 yang semakin menghampiri?
Bagi mengapai status tersebut bukannya mudah, kerana  terdapat beberapa skop yang perlu kita perkasakan dan kita perlihatkan. Saya tidak mahu mengupas skop yang begitu luas seperti ekonomi dan sebagainya. Biar saya kupas serba sedikit mengenai sistem pendidikan yang ada di Malaysia.
 
Sistem pendidikan di Malaysia jauh  ketinggalan untuk menepati konsep-konsep ataupun ciri-ciri negara maju. Sekiranya negara kita masih ditakuk lama, nescaya kita tidak mampu mengapai apa yang selama ini kita harapkan. Bagi memperlihatkan dengan lebih jelas tentang kelemahan yang ada di dalam sistem pendidikan kita, saya cuba bandingkan perbezaan di antara sistem pendidikan di  negara Korea dengan negara kita sendiri.
 
Saya tidak mahu mengupas mengenai sistem pendidikan secara sepenuhnya,  kerana sisitem pendidikan di Malaysia  terikat dengan cengkaman politik dalam institusi akademik itu sendiri. Saya lebih cenderung untuk mengupas menerusi skop  pemarkahan ataupun penilaian grad terhadap seseorang pelajar. Di Malaysia kita sendiri sedia maklum mengenai sistem penilaian gred purata pelajar. Sebagai contoh di Universiti Malaya, bagi Pengajian Pentadbiran dan Keadilan Sosial 40 peratus diperuntukkan untuk tugasan termasuklah penampilan diri serta pembentangan tugasan dan selebihnya 60 peratus diperuntukkan untuk peperiksaan akhir tahun. Kebanyakkan cara pemarkahan setiap fakulti  di Universiti Malaya tidak banyak berbeza. Universiti Pendidikan Sultan Idris pula memperuntukkan 60 peratus untuk tugasan dan selebihnya peperiksaan akhir tahun. Apa yang membezakan disini ialah cara ataupun kaedah penilaian itu sendiri sudah menampakkan kelemahan sistem pendidikan kita sendiri. Sistem di Malaysia melahirkan individu yang berperanan seperti mesin pencetak ataupun sistem copy and paste. Setiap kali peperiksaan akhir tahun tiba, pelajar perlu membaca apa yang disuruh  oleh pensyarah ataupun apa yang telah dipelajari.Pada hari peperiksaan, pelajar hanya perlu menekankan  apa yang telah dibaca  dan menulis hafalan mereka  ke kertas kosong yang disediakan. Keadaan seperti ini tidak ubah seperti mesin pencetak  ataupun sistem copy and paste. Keadaan ini berbeza dengan suasana pendidikan  di negara Korea. Penekanan yang diterapkan dalam diri pelajar mereka adalah idea dan pandangan yang dilontarkan, diciptakan, dihasilkan, diperbaharui dan ditemui setelah selesai sesi pembelajaran, Secara mudahnya, cuba kita perhatikan kewujudan perkara-perkara yang sangat memberi impak  kepada masyarakat seperti  penciptaan Facebook, Drop Box , Twitter dan lain-lain. Ianya hasil daripada idea yang diluahkan dan dilontarkan, bukan hasil daripada sistem copy and paste ataupun ilmu yang dihafal kemudian terciptanya sesuatu yang membanggakan.
 
Apabila berada di negara Korea, saya dapat merasakan sendiri perbezaannya. Sistem penilaian mereka sangat berbeza berbanding dengan negara kita. Penilaiannya berdasarkan idea, usaha, kemahiran komunikasi yang ada pada pelajar. Bagaimana kita sebagai pelajar menggunakan ilmu yang dipelajari untuk masa hadapan bagi mempersembahkan kepada khalayak ramai yang  kita cipta, idea yang kita lontaran dan idea yang kita temui. Misalnya  subjek Scandinavia Policy telah memperuntukkan 20 peratus bagi kehadiran, penyertaan dalam kelas dan memperkenalkan diri di hadapan pelajar selama 3 minit. Bagi setiap kuliah pemarkahan diambil kira melalui  20 peratus bagi tugasan kerja dan 30  peratus untuk peperiksaan pertengahan tahun. Manakala kertas jawapan disemak  berdasarkan idea yang dikemukankan dan idea baru yang diketengahkan, bukan copy and paste dari artikel dan mana-mana buku teks, segalanya berdasarkan idea sendiri. Selebihnya, 30 peratus adalah dikira daripada peperiksaan akhir tahun yang merupakan projek kumpulan. Penekanan diberikan terhadap idea yang baru dan dibantu dengan sumber-sumber rujukan yang terdahulu. Ianya akan dibentangkan dan diakhiri dengan sesi soal jawab sebagaimana cara pembentangan kertas kerja. Bagi negara Korea, tiada sistem peperiksaan akhir tahun seperti di Malaysia. Aspek yang ditekankan bagi sistem pendidikan disini adalah bagaimana kita menghuraikan idea kita sendiri serta kemampuan untuk berhujah dengan idea kita sendiri. Bukan semata-mata kita menghafal fakta,menjawab kertas peperiksaan dan fakta tersebut akan dilupakan setelah peperiksaan telah tamat.
 
Secara tuntasnya, bukanlah saya mahu mengatakan bahawa sistem pendidikan kita pada tahap yang teruk namun terdapat beberapa kelompangan yang kurang menitikberatkan nilai sebenar ilmu.  Buku akan dibuang dan tidak digunakan lagi setelah selesai satu semester.   Berbanding dengan negara Korea, sistem di negaranya mementingkan idea yang baru, idea yang bernas, kemahiran komunikasi yang mampu mempersembahkan idea yang ada, perbincangan yang aktif dan nilai ilmu itu diterapakan dalam diri pelajar itu sendiri serta tidak buang begitu sahaja. Meraka menghasilkan pelajar yang berkemahiran sebagai “Think Tanker” untuk negara mereka. Sebaliknya di negara kita hanya menghasilkan beribu-ribu mesin pencetak dan sistem copy and paste saban tahun. Kejayaan hanya akan terserlah apabila adanya permulaan.
 
YANG BENAR
 
Fahmi Zainol
EXCHANGE STUDENT AT KYUNGPOOK NATIONAL UNIVERSITY.
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya
 

Ruangan Komen

PERINGATAN: Mahasiswakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Mahasiswakini.net. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.